Matawang dolar Amerika stabil pada dagangan sesi Asia dengan pergerakan yang agak terhad berbanding matawang utama termasuk yen dan euro menjelang beberapa peristiwa penting yang akan berlangsung pada minggu ini.
Antara persoalan yang bermain di fikiran pelabur adalah sama ada Presiden AS Donald Trump akan meneruskan pelaksanaan tarif ke atas barangan import China pada 15 Disember ini atau perjanjiannya dengan China akan dapat dicapai sebelum tarikh akhir itu.
Sementara itu dalam perkembangan terbaru dagangan, Donald Trump sekali lagi menyatakan bahawa pihaknya sedang melakukan yang terbaik dengan China dalam usaha menyelesaikan perjanjian tersebut manakala China berharap dapat mencapai kesepakatan secepat mungkin dalam memeterai perjanjian.
Mesyuarat FOMC turut menjadi fokus pasaran dengan dijangkakan Federal Reserve AS (Fed) tidak akan mengurangkan kadar faedahnya setelah memberi beberapa isyarat mengenainya dalam ucapan terdahulu dan disokong oleh laporan pekerjaan NFP yang memberangsangkan.
Jangkaan terhadap kemenangan Parti Konservatif dalam pilihan raya pada Khamis ini yang semakin meningkat telah melonjakkan matawang pound sehingga mencecah paras tertinggi 2 1/2 tahun berbanding euro dan diniagakan lebih tinggi berbanding dolar USD.
Bagaimanapun, pelabur tetap berhati-hati setelah mengambil kira kemungkinan mengejutkan yang akan menjejaskan pergerakan matawang pound untuk merudum.
Imbangan dagangan Jerman menunjukkan lebihan perdagangan meningkat lebih tinggi daripada yang dijangkakan, namun ia tidak cukup untuk mempengaruhi pergerakan matawang euro.
Perhatian pasaran kini terarah kepada pengumuman dasar monetari pertama oleh Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde yang masih tidak menyuarakan pandangannya mengenai dasar monetari walaupun telah berucap beberapa kali.
Matawang dolar Aussie dan New Zealand mula meraih pengukuhan pada sesi Asia hari ini dengan maisng-masing diniagakan meningkat berbanding USD. Dolar Aussie pulih disokong oleh data inflasi China pada bulan November yang menepati jangkaan untuk meningkat kepada 4.5% daripada 3.8%.