Dolar Amerika Syarikat dilihat meningkat pada dagangan Khamis berbanding matawang utama yang melemah selepas kebanyakan bank pusat beralih ke arah polisi yang lebih dovish berikutan dipengaruhi oleh kemerosotan pada prospek ekonomi.
Terbaru adalah daripada Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) semalam yang mengejutkan pasaran dengan memberi isyarat bahawa berkemungkinan tindakan seterusnya adalah menurunkan kadar faedah dan menambahkan lagi senarai bank pusat yang berpendirian lebih dovish.
Dengan kelemahan pada matawang utama yang lain, USD memanfaatkan peluang untuk mengukuh selepas kejatuhan sebelum ini terkesan oleh hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat yang telah jatuh ke paras terendah 15 bulan.
Pound Sterling terus berisiko pada dagangan Rabu selepas tawaran Perdana Menteri Britain, Theresa May untuk berhenti mendapatkan kelulusan perjanjian Brexit di Parlimen gagal memenangi persetujuan pembangkang.
Parti DUP Ireland Utara mengatakan mereka tidak akan menyokong perjanjian Brexit PM May. Tindakan tersebut memberi kesukaran untuk PM May untuk mendapatkan kelulusan untuk cubaan seterusnya.
Ketidaktentuan Brexit yang berterusan menyebabkan pelabur lebih berwaspada terhadap dagangan GBP dalam pasaran semasa.
Matawang Euro juga kekal didagangkan lemah dan berisiko dengan kebimbangan pada pertumbuhan ekonomi menjadi faktor utama yang membuatkan Euro terus bergelut dalam pasaran semasa.
Dalam ucapan Presiden Mario Draghi di Frankfurt semalam turut menyatakan langkah untuk bank pusat menaikkan kadar faedah berkemungkinan akan terus ditangguhkan lagi.
Aussie turut didagangkan lemah terkesan oleh kejatuhan matawang dolar NZD yang merosot selepas penetapan kadar faedah semalam atas faktor negara serantau. Bank pusat Australia sebelum ini juga dilihat lebih ke arah keputusan yang dovish dan pelabur menjangkakan bakal ada penurunan pada kadar faedah pada tahun ini.