Matawang dolar Amerika Syarikat meningkat ke paras tertinggi tiga minggu berbanding Yen pada dagangan Jumaat, disokong oleh jangkaan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang berlarutan sebelum ini bakal diselesaikan dalam jangka masa terdekat ini.
Dolar mencatatkan peningkatan sekitar 0.85% berbanding safe-haven Yen minggu ini berikutan faktor ekonomi Amerika Syarikat yang stabil dan juga pemulihan pada sentimen dalam pasaran semasa.
Presiden Donand Trump menyatakan pada Khamis kedua-dua buah negara semakin hampir mencapai kesepakatan dalam rundingan yang berkemungkinan akan diumumkan dalam masa empat minggu lagi.
Pound Sterling pula kembali mengalami kejatuhan setelah siri kenaikan ditunjukkan tiga hari berturut-turut pada minggu ini selepas kebimbangan pada ketidaktentuan Brexit semakin meningkat dan bakal melalui proses penangguhan yang berlarutan.
Britain berkemungkinan akan memohon kepada Kesatuan Eropah untuk melanjutkan lagi tempoh Brexit minggu hadapan jika krisis rundingan antara kerajaan Perdana Menteri Theresa May serta Parti Buruh tidak menemui jalan penyelesaian terhadap kebuntuan Brexit.
Euro diniagakan lemah pada Khamis berikutan data ekonomi di Jerman yang dikeluarkan semalam mencatatkan angka yang lemah. Selain itu juga, laporan bahawa Itali akan menurukan ramalan pertumbuhan ekonomi terus meningkatkan kebimbangan pelabur dengan risiko pertumbuhan di negara tersebut.
Data pesanan perindustrian di Jerman jatuh dengan kadar yang merosot lebih dua tahun pada catatan untuk Februari ekoran penurunan permintaan luar, menambahkan lagi kegelisahan terhadap ekonomi terbesar di zon Eropah itu menunjukkan permulaan yang lemah untuk tahun ini.
Matawang Yen kekal didagangkan lemah dengan data ekonomi di Jepun pada sesi pasaran Asia pagi ini turut mencatatkan bacaan yang menurun pada data purata pendapatan serta perbelanjaan isi rumah di Jepun.
Tumpuan utama pelabur pada dagangan hari ini adalah terhadap laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada jam 8.30 malam. Selain data pertambahan pekerjaan, kadar pengangguran serta purata pendapatan adalah menjadi fokus utama pelabur bagi menentukan kekuatan dagangan dolar USD dalam pasaran.
Turut dikeluarkan bersama adalah laporan data pekerjaan di Kanada dengan jangkaan angka bacaan pada pertambahan pekerjaan kali ini adalah lemah selepas lonjakan ketara pada bacaan bulan sebelumnya. Kadar pengangguran dijangka akan kekal di paras 5.8%.