Pasaran Forex hari ini dimulakan dengan data ekonomi yang hadir daripada New Zealand iaitu data keyakinan perniagaan yang dikeluarkan oleh badan ANZ di mana bacaan hadir sedikit menaik kepada -32.0 pada Mei 2019, meningkat daripada -37.5 pada April sebelum ini.
Namun data ini tidak dapat memberi pertolongan kepada matawang Kiwi, salah satu matawang yang mempunyai pulangan yang tinggi berikutan sentimen kemerosotan dalam sentimen pasaran Asia.
Hal ini adalah kerana kebimbangan pelabur yang semakin meningkat terhadap pertumbuhan ekonomi global dan ketegangan perdagangan AS-China yang tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda.
Matawang USD pula didagangkan stabil dalam sentimen pasaran yang semakin berisiko berikutan permintaan pelabur atas sifat matawang safe-haven. Bukan itu sahaja, kenaikan USD juga disokong oleh kelemahan Euro selepas terdapat ketidakpastian yang melingkari prospek ekonomi zon Eropah dan masa depan politik yang masih tidak jelas.
Tambahan lagi, Euro juga ditekan oleh krisis hutang Itali. Terbaru, Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini berkata Suruhanjaya Eropah boleh mendenda Itali sebanyak 3 bilion Euro atas pelanggaran peraturan hutang dan defisit Kesatuan Eropah.
Tumpuan pelabur pada sesi seterusnya akan beralih kepada penetapan dasar monetari Bank of Canada (BoC). BoC diramalkan akan mengekalkan kadar faedahnya pada paras 1.75% namun apa yang menjadi tumpuan pasaran adalah pada komen susulan oleh Gabenor Stephen Poloz.