Sumber dari WSJ heboh memperkatakan tentang ini hari ini. Beijing menawarkan bantuan untuk menyelamatkan firma negara 1MDB yang bermasalah pada 2016 sebagai pertukaran yang menguntungkan dalam projek kereta api dan saluran paip, lapor Wall Street Journal (WSJ) yang memetik minit mesyuarat antara pegawai China dan Malaysia.
Akhbar itu yang membongkar kisah 1MDB pada Julai 2015, berkata pegawai China mencadangkan agar Beijing menggunakan pengaruhnya untuk memujuk Amerika Syarikat (AS) dan negara lain menggugurkan penyiasatan mereka ke atas dana pelaburan negara terbabit, berikutan pendedahan bilion dolar disalur keluar daripada syarikat itu.
“Minit mesyuarat menunjukkan pegawai China memaklumkan bahawa kerajaan China akan menggunakan pengaruh bagi memastikan AS dan negara lain menggugurkan siasatan berhubung kes melibatkan perdana menteri ketika itu Najib Razak dan sekutunya, yang didakwa menyeleweng dana 1MDB.
“Sebagai balasan, Malaysia menawarkan kepentingan dalam projek saliran paip untuk program infrastruktur kerajaan China ‘One Belt, One Road’.
Ia berkata cadangan projek yang dikemukakan oleh China itu bertujuan untuk muncul sebagai pemacu pasaran walaupun matlamat sebenar mereka adalah “membantu kerajaan Najib Razak menyelesaikan hutang 1MDB dan memperdalam pengaruh China di Malaysia”.
1MDB sedang disiasat oleh sekurang-kurangnya 6 negara termasuk Singapura dan Switzerland.
Menurut minit mesyuarat itu, WSJ berkata, China juga menawarkan untuk mengawasi rumah dan pejabat wartawan yang menyiasat 1MDB di Hong Kong.
Ini menurut ringkasan Malaysia dalam mesyuarat itu, ia termasuk “skala penuh kediaman/pejabat /peranti, komputer/telefon /pengambilan data web dan pengawasan operasi penuh”.
WSJ juga memetik individu yang biasa dengan mesyuarat itu yang mendakwa bekas perdana menteri mengenali mereka.
Ia berkata kajian semula dokumen yang berkaitan dengan mesyuarat itu menunjukkan pegawai Malaysia mencadangkan beberapa projek yang dibiayai atas nilai pasaran, yang akan menjana wang tambahan untuk keperluan lain.
Ketika ditanya mengenai mesyuarat itu, Najib mengeluarkan kenyataan projek kereta api itu akan memberi banyak peluang pekerjaan ke Malaysia dan di bawah kepimpinannya, negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang berterusan selama 9 tahun.
WSJ berkata kerajaan China setakat ini belum membalas permohonan mereka untuk mendapatkan ulasan berhubung perkara itu.
China sebelum ini menafikan wang bagi program ‘One Belt, One Road’ digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Sumber : WSJ, FMT dan MalaysiaKini