Sejak kecil, kita sering didedahkan dengan peribahasa ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’ yang cukup sinonim dengan amalan menabung. Bukan itu sahaja, kita juga dididik untuk menyimpan baki wang saku yang belum digunakan ke dalam tabung.
Namun, kini zaman sudah pun berubah dan kos sara hidup semakin tinggi. Jadi, bagaimana untuk mula menabung? Ikuti 3 tips mudah ini!
1. Tetapkan saving goals anda
Sebelum mula menabung, anda mestilah menentukan matlamat utama simpanan anda. Sebagai contoh, simpanan tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan anda ketika travel.
Hal ini demikian kerana matlamat yang jelas dapat menjadi pendorong anda untuk terus menabung dan merealisasikannya. Selain itu, anda juga perlu menentukan jumlah wang yang perlu disimpan pada setiap minggu atau bulan.
Walaupun hanya mampu memasukkan sejumlah wang yang kecil, sekurang-kurangnya anda sudah mula menabung dan mempunyai simpanan sendiri!
2. Menilai cara anda berbelanja
Catat setiap perbelanjaan yang dilakukan. Ianya merupakan salah satu langkah untuk anda menilai bagaimana tabiat anda berbelanja. Berdasarkan senarai tersebut, anda boleh memilih sama ada perlu mengurangkan perbelanjaan atau menambah pendapatan yang sedia ada.
Di samping itu, catatan yang dibuat dapat membantu anda mengesan ke mana wang anda dibelanjakan.
3. Cipta peraturan menabung anda
Tetapkan berapa peratusan simpanan yang perlu anda sediakan pada setiap bulan. Sebagai contoh, anda perlu menyimpan 30% daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Ianya adalah penting bagi mendisiplinkan diri anda untuk menabung.
Jangan terlalu cepat terpengaruh atau terikut-ikut dengan cara orang lain. Kuatkan semangat dan tekad anda untuk menabung dan merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan!
Kesimpulannya, masih belum terlambat untuk anda mula menabung daripada sekarang! Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit!