Menjelang hujung minggu,US dolar kekal didagangkan stabil, namun permintaan terhadap matawang itu dilihat mula mempamerkan kemerosotan ketika sesi dagangan New York berikutan peningkatan semula dalam pasaran saham.
Saham AS mula meraih kenaikan ketika pelabur meletakkan harapan mereka terhadap rundingan pakej rangsangan baru yang terhenti sebelum ini, mungkin akan dimulakan semula.
Demokrat di Dewan Perwakilan AS kini dilaporkan sedang bersedia dengan pakej rangsangan $2.2 trilion untuk diundi pada minggu hadapan.
Sementara itu, jumlah tuntutan faedah pengangguran AS yang diterbitkan malam tadi menunjukkan bacaan yang tinggi pada minggu lepas, menunjukkan pemulihan dalam pasaran pekerjaan masih perlahan.
Mengikuti perkembangan di Eropah, matawang pound kembali mencatatkan peningkatan setelah Menteri Kewangan UK Rishi Sunak melancarkan langkah rangsangan baru, iaitu skim sokongan pekerjaan.
Melalui skim ini, pentadbiran dan majikan akan meningkatkan gaji pekerja sebagai bayaran balik merangkumi dua per tiga upah yang telah hilang ketika krisis disebabkan pengurangan waktu kerja.
Di samping itu, matawang euro didagangkan mendatar ketika sesi Asia setelah meningkat sedikit, didorong oleh data keyakinan perniagaan di Eropah yang lebih kuat daripada jangkaan.
Selain itu, bagi matawang Asia, dolar Aussie dan New Zealand juga diniagakan mendatar setelah mencatatkan peningkatan pada sesi New York.
Dolar Kanada pula turut merekodkan kenaikan menyusuli peningkatan dalam harga minyak mentah walaupun masih dibelenggu oleh kebimbangan terhadap kelemahan permintaan minyak dunia.