Harga minyak meningkat selepas mencatatkan penurunan terbesar dalam satu minggu berikutan kekhuatiran terhadap permintaan global yang dijejaskan oleh penemuan varian baru Covid-19.
Niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat didagangkan stabil pada $47.75 setong, setelah jatuh lebih 1.3% pada hari Isnin. Sementara dagangan minyak mentah Brent pula positif pada $51.02 setong pada sesi pasaran Asia hari ini.
Dagangan minyak mentah meningkat seiring degan kenaikan saham di pasaran Asia, di mana saham Jepun mencecah paras tertinggi 29 tahun berikutan didorong oleh sentimen risiko yang meningkat.
Pada sesi Asia hari ini, Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang untuk meningkatkan bantuan cek menjadi $2,000 seperti yang dicadangkan Presiden Donald Trump minggu lepas. Kini pasaran menantikan keputusan Senat AS untuk meluluskannya.
Kenaikan minyak yang dipacu oleh perkembangan positif mengenai vaksin baru-baru ini, telah dilemahkan oleh kebimbangan pasaran terhadap permintaan bahan bakar yang mungkin terjejas susulan penemuan baru varian Covid-19.
Turut menambah kebimbangan pasaran adalah peningkatan berterusan kes coronavirus di seluruh dunia. UK sekali lagi mencatatkan peningkatan harian tertinggi sebanyak 41,385 kes pada hari Isnin.