US dolar terus melemah sehingga ke sesi pasaran Eropah dengan didagangkan susut 0.3% berbanding sekumpulan matawang utama dihimpit oleh harapan terhadap pakej rangsangan tambahan AS yang semakin memudar.
Prospek terhadap satu lagi pusingan rundingan pakej rangsangan semakin suram setelah panggilan antara Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin, menunjukkan mereka masih jauh lagi daripada mencapai kesepakatan.
Mnuchin dikatakan telah menghubungi Pelosi melalui panggilan telefon pada Rabu. Dalam pernyataan bersama, Pelosi dan Pemimpin Minoriti Senat, Chuck Schumer memberi isyarat bahawa mereka belum bersedia untuk memulakan semula rundingan setelah Mnuchin menolak untuk menerima tawaran berhubung pakej bantuan Demokrat AS bernilai $3 trilion.
Ini menyebabkan Presiden Donald Trump menuduh Demokrat AS sengaja tidak mahu berunding kerana penolakan pentadbirannya untuk menerima permintaan ‘mengarut’ yang tidak mempunyai kaitan dengan pandemik.
Kelemahan US dolar telah mendorong pengukuhan bagi matawang utama, terutamanya pound sterling dan euro untuk didagangkan lebih tinggi pada sesi dagangan hari ini.
Matawang pound kekal didagangkan kukuh walaupun dihiasi dengan bacaan data pekerjaan yang mengecewakan dan ekonomi Britain yang menunjukkan negara itu berada dalam kemelesetan.
Sementara dagangan euro juga menguat dengan didagangkan menghampiri paras tertinggi dua tahun berbanding USD.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat mengumumkan akan menangguhkan dahulu ancamannya untuk meningkatkan tarif ke atas $7.5 bilion barangan Eropah dan UK yang dikenakan sebagai hukuman terhadap subsidi yang diterima syarikat penerbangan Airbus