Australia memberi amaran bahawa ia tidak akan gentar dengan percubaan China yang mengancam akan melemahkan aliran pelancong dan pelajar China ke negara itu, di mana ia akan menjejaskan pendapatan negara sehingga berbilion dolar.
Sebelum ini, Beijing telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya, supaya menghindari dari melancong ke Australia ekoran kebimbangan terhadap insiden perkauman yang disasarkan ke atas negara Asia berhubung isu wabak coronavirus.
Bukan itu sahaja, malah, pelajar China juga turut dinasihatkan supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk kembali ke Australia bagi menyambung pelajaran.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dalam satu temubual bersama media tempatan pada hari ini, bagaimanapun menolak dakwaan mengenai diskriminasi kaum tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal dan mengarut.
Beliau malah mengakui bahawa Australia mempunyai hubungan perdagangan yang penting dengan China dan berharap supaya ia dapat diteruskan.
Bagaimanapun, ketika disoal mengenai pembalasan China terhadap gesaan Australia untuk menyiasat mengenai asal usul wabak coronavirus, beliau mengingatkan bahawa pentadbirannya tidak akan pernah gentar dengan ancaman dan paksaan dari ekonomi gergasi kedua dunia itu.
Pada bulan lalu, China dilaporkan telah menyenarai hitamkan import daging lembu dari Australia dan mengenakan tarif sehingga 80% ke atas import barli. Hal ini telah menggugat hubungan perdagangan yang terjalin antara dua negara itu.