Sebelum Presiden Donald Trump meninggalkan White House pada Januari ini, Perbendaharaan Amerika Syarikat mungkin akan melabel beberapa negara sebagai pemanipulasi matawang, menurut penganalisis.
Dalam laporan Jabatan Perbendaharaan yang dijangka akan diterbitkan beberapa hari lagi, penganalisis mengatakan Vietnam, Thailand, Taiwan dan Switzerland mungkin berisiko untuk dilabel pemanipulasi matawang.
Hal ini kerana negara-negara tersebut didapati memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Amerika Syarikat.
Walaupun Presiden terpilih Joe Biden dijangka tidak akan meningkatkan ketegangan dalam hubungan AS dan rakan perdagangan lain, tetapi pentadbiran White House yang baru ini mungkin berdepan kesukaran untuk menarik balik tindakan yang dilaksanakan oleh pentadbiran Trump.
Antara kriteria yang menyebabkan sesebuah negara itu digelar pemanipulasi matawang adalah, negara tersebut sekurang-kurangnya mempunyai lebihan perdagangan dua hala bernilai $20 bilion dengan AS, campur tangan matawang asing melebihi 2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan lebihan akaun semasa global melebihi 2% daripada KDNK.
Menurut bekas ahli ekonomi Perbendaharaan AS, Brad Setser, negara Vietnam, Switzerland dan Thailand didapati melepasi kriteria pada suku pertama dan kedua tahun 2020. Sementara Taiwan pula memenuhi ketiga-tiga kriteria pada suku kedua.