Kini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) secara rasmi telah mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai pandemik. Hal ini demikian kerana virus berkenaan telah merebak dengan pantas ke seluruh dunia. Dalam tempoh 2 minggu yang lalu, jumlah kes di luar China telah mencatatkan peningkatan sebanyak 13 kali ganda manakala jumlah negara yang terjejas meningkat 3 kali ganda!
Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreysus, mereka menjangkakan bahawa jumlah kes, angka kematian dan negara terjejas akibat wabak itu akan terus meningkat.
Berikutan dengan kebimbangan yang tercetus akibat COVID-19, pasaran dunia semakin terjejas lebih-lebih lagi dengan krisis harga minyak yang telah melanda, melibatkan 2 buah negara, Arab Saudi dan Rusia. Namun begitu, terdapat pendapat yang menyatakan bahawa matawang kripto dapat membantu dalam menangani penyebaran virus merbahaya itu dalam kalangan pengguna!
Matawang kripto yang terkenal dengan kaedah pemindahan nilai digital mereka dikatakan selamat kerana tidak memerlukan pengendalian wang tunai yang dikatakan mampu menyebarkan kuman dalam kalangan pengguna. Selain itu, industri ini yang beroperasi secara digital dianggap sebagai selamat dan tidak akan menjadi tempat pembiakan semulajadi untuk virus.
Tambahan daripada itu, kebanyakan projek yang dijalankan dalam industri matawang kripto dalam jarak yang jauh, jadi potensi untuk para pekerja dijangkiti atau berlakunya penyebaran kuman antara mereka adalah tipis. Oleh itu, pasaran matawang kripto dapat terus menyumbang kepada ekonomi sedangkan para pekerja di sektor lain terjejas akibat penyebaran COVID-19.
Akan tetapi, aset matawang kripto akan mengalami kejatuhan akibat daripada pengisytiharan pandemik yang diwar-warkan. Bitcoin dan aset yang lain telah merosot akibat pasaran kewangan semasa yang jatuh merudum. Oleh yang demikian, harga matawang kripto terjejas kerana para pelabur cenderung untuk melabur untuk aset yang lebih stabil.