Pertukaran matawang kripto, Binance dilaporkan menfailkan saman terhadap dua wartawan Forbes Media, Michael de Castillo dan Jason Brett atas tuduhan yang melibatkan penipuan Bitcoin (BTC).
Melalui artikel bertajuk, “Leaked ‘Tai Chi’ Document Reveals Binance’s Elaborate Scheme To Evade Bitcoin Regulators“, Forbes menerangkan dokumen itu merupakan rangka rancangan pengambilan pendapatan dari entiti AS ke Binance, pada masa yang sama firma itu ‘selamat’ dari tindakan penguatkuasaan negara itu.
Binance dalam laporan yang difailkan pada Rabu, menegaskan dakwaan tersebut tidak benar dan merupakan satu fitnah.
Jelas Binance lagi, mereka sama sekali tidak merangka dokumen Tai Chi dan tidak pernah melaksanakan rancangan tersebut seperti yang didakwa dalam artikel tersebut.
Malah, individu bernama ‘Harry Zhou’ yang kononnya bekerja di Binance juga sebenarnya tidak pernah wujud.
Binance menuntut artikel itu diturunkan dari laman web dan menuntut ganti rugi berserta hukuman terhadap individu yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, sehingga kini artikel tersebut masih belum ditarik semula oleh Forbes. Turut terdapat nota editor yang menjelaskan artikel tersebut benar dan Zhou merupakan bekas pekerja Binance.
Sebelum ini juga CEO Binance, Changpeng Zhao ada mengugut untuk menyaman tabloid kripto, The Block menerusi satu ciapan Twitter pada November 2019.