Hari ini pasaran menyaksikan lonjakan terbaru harga mata wang kripto Bitcoin (BTC) melepasi paras $13,800 sebentar tadi mencatatkan paras tertinggi pada tahun ini.
Segelintir pelabur dan penganalisis mata wang kripto Bitcoin beranggapan aset tersebut perlu melepasi paras nilai $14,000 sebelum lonjakan yang berterusan.
Rekod tertinggi 2020 dicatatkan hari ini nampaknya kembali menguji paras tertinggi pada 2019 di sekitar paras tersebut dengan paras $14,000 menjadi rintangan utama. Pelabur akan menantikan reaksi harga pada zon tersebut.
Berdasarkan pemerhatian ahli strategi makro, Raoul Pal, ini bermakna kini berbaki dua paras rintangan utama harga BTC iaitu $14,000 dan $20,000. Pemerhatiannya juga membawa kepada jangkaan untuk harga bakal mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada awal 2021.
Tidak mustahil jika akan berlaku peningkatan inflasi yang mana akan mempengaruhi hubungan antara bitcoin dan pasaran ekuiti.
Pada masa yang sama, penganalisis pasaran Etoro, David Derhy berpendapat kedudukan nilai bitcoin ketika ini wajar dilihat dengan lebih positif, berharap menuju paras $20,000 tanpa melihat semula paras sebelum ini, $12,000.
Perkara tersebut dapat dikukuhkan dengan situasi Amerika Syarikat (AS) yang akan berhadapan dengan pilihan raya pada 3 November ini dan dijangka ransangan ekonomi dari pemerintah akan berlaku walaupun masih tiada perbincangan setakat ini.