Bank of Japan (BOJ) sekali lagi menepati ramalan dengan mengekalkan kadar faedah tidak berubah dan mempertahankan pandangannya terhadap ekonomi negara itu.
Seperti yang dijangkakan oleh pasaran, BOJ kekal dengan kadar faedah di tahap terendah pada -0.10% dan sasaran hasil bon kerajaan 10 tahun pada 0%, dengan undian majoriti 8 berbalas 1.
Dalam laporan yang menyusuli keputusan polisi, bank pusat menyatakan ekonomi Jepun akan mengalami situasi terburuk dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh menguncup sebanyak 4.7% pada tahun kewangan 2020.
Namun, dalam masa yang sama bank pusat juga berpandangan ekonomi kini perlahan-lahan menunjukkan pemulihan setelah terkesan akibat krisis pandemik coronavirus, menandakan ia akan berhenti untuk melaksanakan langkah rangsangan buat masa ini.
Menurut laporan tinjauan suku tahunan, BOJ memberitahu bahawa ekonomi Jepun diunjur akan meningkat secara beransur-ansur pada suku kedua tahun ini. Bagaimanapun, langkah pemulihan adalah sederhana memandangkan kesan Covid-19 akan tetap ada.
Sementara itu, kadar inflasi juga diunjur akan meningkat secara beransur-ansur apabila impak kejatuhan harga minyak mentah mula pudar berikutan pemulihan permintaan global dan keseimbangan dalam pasaran juga kembali pulih.
Walau bagaimanapun, pembuat dasar turut menyedari bahawa prospek terhadap aktiviti ekonomi dan harga adalah sangat tidak jelas, kerana ia bergantung kepada kesan yang disebabkan Covid-19 terhadap ekonomi domestik dan global.
Susulan daripada keputusan BOJ, safe-have yen didagangkan tidak berubah berbanding US dolar dan matawang utama lain yang disokong oleh perkembangan positif mengenai ujian vaksin Covid-19 oleh Moderna Inc.
Gabenor BOJ, Haruhiko Kuroda akan menjelaskan secara lebih terperinci mengenai keputusan dasar monetari pada petang ini.