Yuan digital sekali lagi memenuhi ruang tabloid dengan pengumuman oleh pengerusi institut kajian matawang digital People’s Bank of China (PBOC), Mu Changchun mengenai penggunaan matawang itu menerusi rangkaian pembayaran utama di negara itu.
Menurut Mu, yuan digital yang disokong oleh bank pusat tidak lama lagi dapat diakses menggunakan wallet pembayaran mudah alih utama seperti WeChat dan Alipay.
Kenyataan terbaru ini jelas berbeza dengan laporan oleh South China Morning Post (SCMP), mengatakan digital yuan tidak serasi dengan dua rangkaian pembayaran tersebut.
Sebelum ini juga tabloid yang sama melaporkan China mungkin akan melancarkan matawang digital sebagai alternatif kepada WeChat dan Alipay yang telah mendominasi 90% transaksi pembayaran mudah alih di negara itu.
Buat masa sekarang penggunaan yuan digital begitu terhad menerusi aplikasi wallet mudah alih eksklusif. Hal ini kerana aplikasi tersebut berhadapan dengan isu produk tiruan, yang mana sudah wujud wallet yuan digital tiruan di pasaran.
Tiada langkah yang lebih proaktif dalam menangani isu ini melainkan semua pihak terlibat, bermula dari bank pusat sehinggalah pengguna, bertindak lebih berhati-hati.
Pada waktu yang sama, Mu turut memberitahu perbezaan yuan digital yang beroperasi menggunakan sistem berpusat, tidak sama seperti aset digital seperti Facebook Libra dan Bitcoin (BTC) yang terkenal dengan sistem tidak berpusat.
Aset tersebut masih lagi menjalani tempoh percubaan, melibatkan tawaran $1.5 juta yuan digital kepada 50,000 penduduk China yang berdaftar dalam pemberian tersebut.