Dagangan euro kembali mencatatkan penyusutan pada awal pembukaan sesi Eropah setelah meningkat ke paras ketinggian 4 minggu berbanding US dolar yang disokong oleh keyakinan dalam pasaran.
Fokus pasaran kini terarah kepada mesyuarat Eurogroup yang akan diadakan hari ini, dengan pelabur mengharapkan kumpulan itu akan memberi isyarat mengenai sokongan untuk dana pemulihan Kesatuan Eropah (EU).
Mesyuarat yang menghimpunkan menteri kewangan daripada 19 negara anggota itu diadakan menjelang sidang kemuncak pemimpin EU pada minggu depan, di mana blok itu berharap dapat mencapai kesepakatan dalam pakej rangsangan fiskal bernilai € 750 bilion.
Selain itu, kenyataan daripada ahli Bank Pusat Eropah (ECB), Villeroy de Galhau juga turut mempengaruhi dagangan euro yang menyatakan kesediaan bank pusat untuk lebih inovatif dengan alat dasar monetari yang ada jika diperlukan.
Sementara itu, matawang pound terus mengekalkan momentum pengukuhannya berbanding US dolar didorong oleh pakej rangsangan tambahan bernilai £30 bilion untuk menyokong ekonomi yang terkesan akibat coronavirus.
Walau bagaimanapun, risiko no-deal Brexit masih lagi mengganggu dagangan pound menyebabkan peningkatannya agak terbatas.
Canselor Jerman Angela Merkel memberitahu bahawa beliau berusaha untuk mempercepatkan langkah-langkah untuk memeterai perjanjian, namun dalam masa yang sama EU harus bersedia untuk kemungkinan senario no-deal Brexit.
Di sisi lain, peningkatan yang diraih dolar Aussie sedikit terbatas setelah tindakan Australia membatalkan perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong telah menimbulkan ancaman balas daripada China.