Dolar Amerika diniagakan mengukuh berbanding euro susulan keputusan Bank Pusat Eropah (ECB) yang mengekalkan kadar faedah dan melancarkan kajian strategik secara menyeluruh terhadap dasarnya untuk menentukan sama ada sasaran inflasi semasa masih sesuai.
Dalam sidang media malam tadi, ECB memberitahu kajian itu akan diselesaikan sebelum akhir tahun 2020 yang akan merangkumi rumusan kuantitatif kestabilan harga, alat dasar kewangan, analisis ekonomi dan monetari serta amalan komunikasi.
Ia juga akan menilai kestabilan kewangan, pekerjaan dan kelestarian alam sekitar berdasarkan analisis menyeluruh serta fikiran terbuka yang bakal melibatkan semua pihak berkepentingan.
ECB juga akan meneliti mengenai kesan ekonomi akibat perubahan iklim dalam dasarnya. Ini menyebabkan matawang euro jatuh lebih rendah kerana krisis ini boleh mencetuskan penggunaan rangsangan monetari tambahan.
Presiden Lagarde dalam ucapannya malam tadi masih berpandangan positif terhadap ekonomi dan berkata data-data yang dicatatkan setakat ini adalah sejajar dengan senario asas ECB untuk pertumbuhan sederhana yang berterusan.
Sementara itu, kebimbangan berterusan mengenai angka kes coronavirus yang dikesan di luar China menyebabkan pasaran kekal dalam mod risiko. US dolar antara matawang yang meraih manfaat daripada sentimen negatif terutamanya berbanding beberapa matawang utama manakala safe-haven yen pula kekal tinggi.
Matawang pound kekal kukuh berbanding US dolar dengan diniagakan mendatar pada sesi Asia hari ini disokong oleh jangkaan pemotongan kadar faedah yang semakin berkurang selepas penerbitan data pekerjaan UK yang menguat.
Pengukuhan data pekerjaan Australia yang diterbitkan pada Khamis telah memacu peningkatan dolar Aussie berbanding US dolar. Bagaimanapun, ekoran daripada sentimen semasa, ia kembali mendorong penurunan buat matawang itu.