US dolar terus didagangkan di bawah tekanan menjelang keputusan mesyuarat polisi FOMC pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia) yang mana Federal Reserve (Fed) dijangka akan lebih dovish.
Dolar greenback jatuh hampir 0.3% berbanding enam matawang utama pada 93.49, menghampiri paras terendah dua tahun yang dicapainya minggu ini.
Pergerakan matawang utama pula sedikit perlahan memandangkan pelabur mungkin bersedia dengan mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat daripada mengambil posisi lebih besar sementara menantikan mesyuarat FOMC.
Lewat Selasa, Fed telah mengumumkan untuk melanjutkan program pinjaman $2 trilion untuk tiga bulan lagi sehingga akhir tahun ini bagi memastikan bahawa kemudahan kewangan terus tersedia untuk membantu pemulihan ekonomi.
Setelah melonjak ke paras ketinggian 15 bulan berbanding USD pada awal pembukaan dagangan sesi Eropah, dolar Aussie kembali memaparkan sedikit penyusutan dengan diniagakan di sekitar paras harga 0.7178.
Kelemahan data inflasi Australia pada suku kedua yang diterbitkan awal pagi tadi hanya memberikan kesan sementara kepada dolar Aussie dengan meragut sedikit penurunan sebelum naik semula.
Sementara dolar kiwi yang juga meraih peningkatan, turut merosot untuk didagangkan di sekitar harga 0.6665 berbanding USD.
Matawang komoditi dolar Kanada pula dilihat gagal memanfaatkan kenaikan harga minyak yang disokong oleh kejatuhan drastik dalam inventori minyak mentah AS oleh Institut Petroleum Amerika (API) pada minggu lalu.
Bagi matawang Eropah pula, matawang pound terus memanjangkan kenaikannya setelah melonjak mencecah tahap tertinggi 4 setengah bulan dengan diniagakan meningkat pada 1.297 berbanding USD.
Selain itu, euro pula susut sedikit namun masih didagangkan tinggi di paras ketinggian 22 bulan berbanding USD.