Sentimen pasaran menjelang dagangan hujung minggu dilihat sedikit pasif susulan beberapa berita yang kurang menyenangkan mengenai vaksin Covid-19 dan pakej rangsangan AS.
Terbaru, Pfizer Inc dilaporkan telah mengurangkan sasaran pelancaran vaksin Covid-19 berikutan halangan rantaian bekalan.
Pada awalnya, firma itu berharap dapat mengeluarkan 100 juta vaksin kepada seluruh dunia pada akhir tahun ini. Namun, jumlah tersebut dikurangkan menjadi 50 juta, lapor Wall Street Journal.
Susulan itu, dolar Aussie diperdagangkan sedikit susut dari paras tertinggi sejak Ogos 2018, walaupun dengan bacaan data jualan runcit yang meningkat lebih tinggi daripada dijangkakan pada bulan Oktober.
Dolar New Zealand turut mencatatkan penyusutan selepas mencapai paras ketinggian terbaru pada 0.71000 berbanding USD ketika sesi sebelum ini.
Sementara itu, harapan pasaran terhadap pakej bantuan rangsangan mula hilang selepas Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell menolak cadangan $908 bilion oleh parti Demokrat dan Republikan (bipartisan).
Bagaimanapun, pasaran masih berharap kesepakatan untuk melancarkan langkah rangsangan coronavirus dapat dicapai dengan segera.
Berbanding sekumpulan matawang utama, indeks dolar sedikit meningkat namun kekal didagangkan lemah di sekitar paras terendah 2 setengah tahun pada 90.70.
Penerbitan data pekerjaan NFP AS pada malam ini akan menjadi tumpuan utama pasaran yang mana ia dijangkakan sedikit lemah berbanding bacaan yang direkodkan sebelum ini.
Dolar Kanada didagangkan mengukuh menjelang penerbitan data pekerjaan Kanada pada malam ini, susulan peningkatan harga minyak dunia selepas keputusan OPEC.