Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China memasuki episod baharu selepas AS bertindak balas terhadap undang-undang keselamatan baharu China di Hong Kong.
Terdahulu, China melaksanakan undang-undang berkenaan bagi mengenakan hukuman terhadap penunjuk perasaan di Hong Kong selain mengurangkan status autonomi negara itu.
Ekoran itu, AS bertindak meluluskan Akta Autonomi Hong Kong yang mengenakan sekatan terhadap entiti China yang membantu melanggar autonomi Hong Kong dan institusi yang menjalankan perniagaan dengan mereka.
Menurut penganalisis undang-undang, Profesor David Law, sebarang tindakan yang dibuat oleh AS, China sering bertindak balas sehingga mencetuskan konflik baharu antara kedua-dua negara.
Jelas Law, akta terbabit turut memberi ‘peluang’ kepada Presiden AS, Donald Trump untuk membuka aset kewangan di AS atau di bawah kawalan institusi seperti bank.
Tambah Law lagi, entiti perniagaan yang berada AS, Hong Kong atau China akan mengalami kesukaran untuk mematuhi kedua-dua undang-undang pada masa yang sama.
Sementara itu, Trump menerusi sidang media berkata, beliau tidak menyukai apa yang berlaku di Hong Kong dan menyatakan China menarik kebebasan rakyat Hong Kong.
Tambah Trump, undang-undang keselamatan China itu juga mengancam peluang Hong Kong untuk bersaing dalam pasaran bebas.
AS sebelum ini tidak senang dengan tindakan China terhadap Hong Kong kerana menjejaskan aktiviti perdagangan antara Washington dan Hong Kong.
Pelabur mungkin akan melihat perkara sebegini akan kembali mencetuskan ketegangan antara dua kuasa ekonomi terbesar di dunia.