Kebanyakkan matawang utama kekal didagangkan tinggi selepas menghantar dolar greenback terbenam ke paras terendah 7 minggu pada sesi sebelum ini yang disokong oleh keyakinan meningkat bahawa kesepakatan mengenai rangsangan fiskal AS dapat dicapai.
Bagaimanapun, para pelabur kembali berhati-hati dalam dagangan pada sesi Asia sementara terus memantau perkembangan selanjutnya mengenai rundingan tersebut dan bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan bahawa kesepakatan mungkin tidak dapat dicapai sebelum pemilihan presiden.
Perbincangan diteruskan antara Speaker Dewan, Nancy Pelosi dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin, yang masih lagi berakhir tanpa perjanjian dan ini telah membebankan sentiman pasaran ketika pembukaan sesi dagangan hari ini.
Indeks dolar didagangkan hampir tidak berubah berbanding sekumpulan matawang utama pada 92.74 setelah jauh ke tahap terendah 7 minggu semalam.
Euro didagangkan sedikit menyusut dari paras ketinggian satu bulan yang dicapainya pada Rabu berikutan prospek bahawa persetujuan akan dilakukan sebelum pilihan raya masih lagi suram menyebabkan pelabur kembali berwaspada terhadap matawang berisiko.
Bagi matawang Asia, dolar Aussie dan dolar New Zealand juga mencatatkan sedikit penyusutan berikutan kewaspadaan pelabur terhadap perkembangan mengenai rangsangan fiskal AS.
Dalam pada itu, pound sterling terus mengekalkan pengukuhannya setelah melonjak ke paras ketinggian enam minggu susulan laporan yang menyatakan rundingan Brexit akan disambung semula.
Laporan itu juga mengatakan bahawa Britain dan Kesatuan Eropah (EU) akan berusaha mencapai kesepakatan perdagangan baru pada pertengahan November.