Ekonomi Britain dijangka akan mengalami kemelesetan terburuk berbanding negara-negara maju lain akibat terkesan oleh krisis Covid-19, menurut laporan oleh Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Penguncupan sebanyak 11.5% yang diunjurkan dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) UK pada tahun 2020, akan mengatasi kemerosotan yang dialami di Perancis, Itali, Sepanyol, Jerman dan Amerika Syarikat.
KDNK Jerman dijangka akan mengalami kemerosotan sebanyak 6.6% pada tahun ini, sementara Sepanyol pula menguncup 11.1%, Itali 11.3% dan Perancis 11.4%. Ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat pula dijangka mencatat penguncupan 7.3%.
Menyoroti tugas yang menanti kerajaan UK ketika ia sedang berusaha untuk melonggarkan sekatan, OECD memberi amaran bahawa negara yang melaksanakan sekatan akan mengambil masa yang lama untuk kembali kepada kebiasaannya.
Walaupun menerima pelbagai kritikan atas kegagalan kerajaan dalam mengendalikan krisis ini, Menteri Kewangan UK, Rishi Sunak mengingatkan bahawa keadaan yang dialami Britain adalah sama seperti kebanyakan negara lain di seluruh dunia.
Ekonomi UK, yang dijangka akan mencatatkan peningkatan dalam pengangguran sehingga 9%, mungkin bertambah buruk jika kesepakatan perdagangannya dengan Kesatuan Eropah (EU) gagal dicapai.
Menurut OECD, kegagalan UK dalam mendapatkan perjanjian perdagangan dengan EU pada akhir tahun 2020 atau menetapkan pengaturan alternatif, akan memberi kesan negatif yang sangat besar terhadap pekerjaan dan perdagangan.
UK mempunyai masa sehingga akhir bulan Jun utuk mencapai perjanjian bersama EU. Jika tidak ada kemajuan dalam kesepakatan dan lanjutan untuk rundingan, ini akan meningkatkan lagi risiko no deal Brexit.