Harga emas kembali jatuh di sesi Asia pada dagangan Jumaat setelah melonjak lebih tinggi pada sesi sebelum ini dengan mencapai tahap tertinggi satu minggu berikutan sentimen di pasaran Asia yang bercampur-campur telah mengurangkan keuntungan bagi logam kuning itu.
Spot emas diniagakan menyusut di sekitar harga $1,939 per auns, manakala niaga hadapan emas pula susut pada $1,946 per auns (12.20 pm waktu Malaysia).
Penjualan saham teknologi AS yang berterusan untuk minggu kedua dan kemerosotan dolar greenback telah membuka peluang untuk kenaikan semalaman emas sehingga mencecah $1,966 per auns.
Kejatuhan US dolar disebabkan peningkatan lebih tinggi dalam dagangan euro susulan pengumuman polisi Bank Pusat Eropah (ECB) dan kegagalan Kongres AS untuk mencapai kesepakatan terhadap langkah rangsangan telah mendorong kenaikan emas.
Logam berharga emas telah meraih keuntungan lebih 1.2% sejak permulaan dagangan awal minggu yang turut disokong oleh ketidakpastian terhadap prospek pemulihan global daripada kejatuhan disebabkan pandemik Covid-19.
Pemulihan yang perlahan ditunjukkan dalam pasaran buruh susulan peningkatan dalam tuntutan pengangguran AS pada minggu lalu turut menambahkan lagi kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi yang cepat.
Penerbitan data pertumbuhan ekonomi UK dan kadar inflasi Amerika Syarikat akan menjadi tumpuan para pelabur seterusnya pada hari ini.