Harga emas sedikit meningkat pada Selasa, disokong oleh US dolar yang lebih lemah ketika tumpuan para pelabur kini tertumpu pada undian Senat ke atas rang undang-undang baru untuk meningkatkan bantuan cek kepada rakyat Amerika.
Memasuki sesi Eropah, logam berharga itu didagangkan meningkat pada $1,880 per auns, sementara niaga hadapan emas pula positif pada $1,883 per auns (4.00 petang waktu Malaysia).
Pada sesi Asia hari ini, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat telah meluluskan rang undang-undang untuk meningkatkan bantuan cek menjadi $2,000 seperti yang dicadangkan Presiden Donald Trump pada minggu lalu.
Ini telah mendorong dagangan US dolar lebih rendah berbanding pesaing utamanya, berikutan lonjakan dalam pasaran ekuiti yang menyaksikan saham Jepun mencapai paras tertinggi dalam tempoh 30 tahun disebabkan optimisme yang meningkat menjelang undian Senat.
Walau bagaimanapun, kenaikan yang diraih oleh emas dilihat agak terbatas memandangkan sentimen positif dalam pasaran turut mendorong para pelabur melepaskan pegangan terhadap aset safe-haven.