Dagangan logam berharga emas jatuh ke paras terendah dua bulan ditekan oleh kekuatan US dolar selain turut terkesan dengan kurangnya langkah rangsangan baru dari bank pusat utama dunia.
Peningkatan berterusan dolar greenback menjadikan logam kuning itu lebih mahal untuk pemegang matawang lain sekali gus terus mengheret para pelabur jauh daripada dagangan emas.
Ketika pembukaan sesi Eropah, spot emas diniagakan lebih rendah pada $1,851 per auns, sementara niaga hadapan emas pula susut pada $1,855 per auns (2.50 petang waktu Malaysia).
Dolar greenback terus menguat di tahap tertinggi lebih dari 2 bulan berbanding matawang utama ketika terdapat tanda-tanda menunjukkan perlambatan ekonomi di Eropah telah mencetuskan kegelisahan terhadap kejatuhan ekonomi akibat gelombang kedua Covid-19.
Keyakinan terhadap pemulihan ekonomi bertukar suram setelah data terbaru menunjukkan aktiviti perniagaan di Eropah merosot ekoran peningkatan semula kes coronavirus di rantau itu.
Dalam pada itu, pelabur kini menantikan laporan tuntutan pengangguran minggu Amerika Syarikat yang akan diterbitkan malam ini, di mana ia dijangkakan memaparkan sedikit penurunan namun kekal di tahap tertinggi.