Menjadi tumpuan utama pada awal pagi ini adalah mesyuarat FOMC dengan keputusan untuk kadar faedah telah dikekalkan pada 0.25% seperti yang dijangkakan. Namun kenyataan susulan oleh gabenor bank pusat telah lebih penting buat pelabur.
Pengerusi Federal Reserve, Jerome Powell dalam ucapannya telah memberikan beberapa kenyataan bernada dovish dengan petanda kurang baik buat matawang US dolar.
Powell melihat data-data ekonomi penting Amerika Syarikat (AS) memberikan isyarat kadar pemulihan yang perlahan sejak pertengahan Jun. Ini berkemungkinan disebabkan gelombang pandemic terbaru yang kembali menyerang ekonomi terbesar dunia tersebut.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa sokongan fiskal yang dilaksanakan setakat ini masih lagi kritikal untuk memulihkan ekonomi. Jadi, tambahan rangsangan fiskal masih lagi diperlukan.
Fed tidak melihat untuk kadar faedah akan dinaikkan dalam masa terdekat sementara pasaran buruh pula masih memerlukan tempoh yang panjang untuk pulih semula walaupun pertambahan baik peluang pekerjaan baru untuk dua bulan.
Semua kenyataan bernada dovish oleh Powell ini akan meningkatkan lagi jangkaan untuk US dolar terus bergerak lemah dalam pasaran.
Sesi New York akan memberi tumpuan pula terhadap data pertumbuhan GDP AS untuk suku tahun kedua dengan bacaan awal dijangkakan akan mencatatkan angka penurunan yang membimbangkan.