Matawang Pound Sterling mempamerkan pengukuhan pada sesi pasaran Eropah hari ini walaupun masih dibayangi risiko Brexit.
Namun pelabur berkemungkinan melihat pergerakan menaik harga bagi Pound bersifat sementara dengan ketiadaan data ekonomi UK yang penting untuk menyokong matawang Britain tersebut.
Dapat dilihat pergerakan harga pada carta pasangan matawang utama GBP/USD mencatatkan 70 pips kenaikan ke paras 1.29800 setakat jam 5 petang.
Harga dilihat bergelut untuk meneruskan momentum kenaikan dan menguji zon SBR (support become resistance) tersebut.
Kenaikan harga juga turut didorong oleh penyusutan bagi matawang US dolar ekoran jangkaan penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve sebanyak 2 kali untuk tahun ini.
Faktor tersebut telah menjejaskan pengukuhan US dolar sebelum ini yang mendapat manfaat dalam sentimen pasaran berisiko dengan ancaman wabak Coronavirus yang masih berterusan.
Jika kenaikan harga pada carta GBP/USD berjaya diteruskan, harga bakal menuju zon resistance pada ketinggian 1.30600.
Kenaikan harga yang berjaya melepasi resistance tersebut akan mencatatkan paras ketinggian bulanan terbaru.
Namun jika harga kembali membuat penurunan semula, berkemungkinan paras sokongan Moving Average 50 (MA50) akan ditembusi sebelum harga turun menuju paras 1.28700.
Penurunan seterusnya akan cuba melepasi paras terendah harga yang dicapai pada minggu lalu sekitar 1.28500.
Pelabur turut menantikan data keyakinan pengguna Amerika Syarikat pada sesi New York malam nanti dan dijangka akan memacu pergerakan harga pada carta GBP/USD.
Lihat gambar carta pasangan matawang GBP/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.