Matawang Pound Sterling masih menunjukkan corak pergerakan yang lemah untuk permulaan dagangan tahun 2020.
Tekanan terus dirasai selepas pendekatan sukar oleh Perdana Menteri UK Boris Johnson selepas memenangi pilihan raya parlimen, dengan bertegas untuk tidak melanjutkan tempoh peralihan Brexit setakat penghujung 2020.
Ini telah membangkitkan kebimbangan pasaran untuk Britain mencapai perjanjian perdagangan bersama Kesatuan Eropah (EU) selepas pengunduran dari blok tersebut.
Namun begitu, penganalisis ekonomi berpendapat Pound akan kembali mengalami peningkatan pada tahun ini selepas Britain keluar dari EU pada 31 Januari dan akan terus meningkat sehingga akhir tahun 2020.
Meneliti pergerakan harga pada carta pasangan matawang GBP/USD semalam, harga mempamerkan penurunan ketara pada sesi Eropah hampir ke paras 1.30100 sebelum kenaikan perlahan pada sesi New York.
Dagangan yang bersambung pada sesi Asia masih menunjukkan pergerakan menaik yang perlahan sehingga menguji garisan halangan dinamik Moving Average 50 (MA50) sebelum harga turun semula selepas gagal teruskan kenaikan melepasi halangan tersebut.
Jika penurunan kembali diteruskan harga akan cuba turun lebih rendah ke paras sekitar 1.29700 di mana terdapat zon tumpuan harga di kawasan tersebut.
Penurunan lebih rendah akan menguji pula paras sekitar 1.29100 yang merupakan zon support pada dagangan Disember lalu yang gagal ditembusi harga.
Sebaliknya jika harga berjaya melonjak meneruskan kenaikan, berkemungkinan terdapat isyarat perubahan trend.
Kenaikan seterusnya dilihat akan menuju halangan pada paras tumpuan 1.32000 sebelum menuju paras ketinggian sebelum ini pada 1.27800.
Lihat gambar carta pasangan matawang GBP/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.