Logam kuning kekal didagangkan di bawah tekanan pada sesi dagangan Rabu di sesi Asia berikutan pengukuhan US dolar ke tahap tertinggi satu bulan.
Spot emas didagangkan rendah di sekitar harga $1,925 per auns, dengan niaga hadapan susut pada $1,933 per auns (11.00 pagi waktu Malaysia).
Logam berharga itu sebelum ini mencatatkan lonjakan besar pada sesi New York setelah jatuh mencecah harga $1,906 per auns, iaitu di tahap terendah dua minggu berikutan penjualan besaran dalam pasaran ekuiti yang mendorong peningkatan aset safe-haven.
Susulan kejatuhan drastik dalam pasaran ekuiti global berikutan penjualan ketara saham teknologi, emas tetap meraih keuntungan walaupun US dolar mengukuh, dengan mencatatkan peningkatan 0.7%.
Ketidaktentuan dalam pasaran berikutan ketegangan AS-China, kegagalan rundingan rangsangan fiskal AS dan keyakinan yang semakin berkurang terhadap pembangunan vaksin turut menyokong peningkatan terhadap pegangan emas.
Terbaru, ujian vaksin Covid-19 oleh AstraZeneca dilaporkan telah ditangguhkan atas tujuan keselamatan setelah salah seorang daripada peserta percubaan vaksin itu didapati jatuh sakit.