Logam kuning didagangkan meningkat pada pembukaan dagangan awal minggu disokong oleh kemerosotan yang dialami US dolar.
Spot emas diniagakan meningkat dengan berlegar di sekitar paras harga $1,945 per auns pada sesi Eropah, sementara niaga hadapan emas naik 0.3% pada $1,953 per auns (3.45 petang waktu Malaysia).
Kelemahan US dolar berterusan setelah ditutup rendah pada dagangan hujung minggu lalu walaupun setelah diperlihatkan dengan bacaan data inflasi AS bagi bulan Ogos yang positif pada Jumaat. Dolar greenback didagangkan susut 0.2% berbanding kebanyakan matawang utama.
Kebimbangan terhadap krisis pandemik Covid-19 yang berterusan terus mendorong para pelabur untuk mengekalkan pegangan logam berharga emas. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan peningkatan tertinggi satu hari di seluruh dunia pada Ahad, di mana sebanyak 207,930 telah disahkan dalam tempoh 24 jam.
Jumlah keseluruhan kes coronavirus di seluruh dunia kini telah mencecah angka 29 juta, manakala jumlah kematian pula melebihi 924,000, menurut data yang diterbitkan Johns Hopkins University.
Tumpuan utama pasaran kini beralih kepada mesyuarat polisi FOMC pada awal pagi Khamis untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk mengenai langkah rangsangan dan sasaran inflasi Federal Reserve (Fed) AS.
Turut menjadi perhatian pelabur pada minggu ini adalah mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) dan Bank of England (BOE) yang mana masing-masing diadakan pada Khamis.