Kejatuhan ketara dalam bekalan minyak Amerika Syarikat telah menyokong dagangan komoditi hitam untuk kembali meningkat setelah susut ekoran kebimbangan terhadap kes baru coronavirus yang terus menunjukkan peningkatan.
Memasuki sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat meningkat 0.7% kepada $40.10 setong, manakala minyak mentah Brent pula menokok 0.8% kepada $42.38 setong.
Inventori minyak mentah AS jatuh mendadak sebanyak 7.2 juta tong, daripada penambahan 1.4 juta tong sebelumnya dan jauh tersasar daripada jangkaan pasaran untuk susut 0.9 juta tong, menurut laporan dikeluarkan oleh Institut Pentadbiran Tenaga (EIA) pada Rabu.
Penyusutan harga minyak sebelum ini dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap peningkatan berterusan kes di Amerika Syarikat sehingga mendorong California dan beberapa negeri lain untuk menangguhkan pembukaan semula ekonomi mereka.
Bukan itu sahaja, malah, negeri Victoria di Australia dan Leicester, UK juga dikenakan perintah berkurung untuk membendung penularan setelah menyaksikan kenaikan semula kes baru coronavirus.
Sekatan yang dilaksanakan tersebut secara tidak langsung meningkatkan lagi kerisauan terhadap permintaan minyak mentah yang mungkin terjejas sekiranya lebih banyak penutupan semula dilakukan.
Bagi dagangan komoditi emas pula, logam berharga itu kembali menyusut dari paras ketinggian terbaru yang direkodkan pada Rabu sementara perhatian pelabur beralih kepada penerbitan data pekerjaan NFP pada malam ini.
Logam kuning kekal didagangkan tinggi di sekitar paras harga $1,769 per auns, manakala niaga hadapan emas pula didagangkan sedikit susut kepada $1,778.85. Niaga hadapan emas sebelum ini meningkat ke paras harga $1,800 buat pertama kali sejak 2011.