Ketika US dolar kembali memaparkan kenaikan setelah disokong oeh data pembuatan AS yang memberangsangkan, logam berharga emas pula didagangkan merosot pada awal sesi Eropah.
Logam kuning didagangkan menyusut di sekitar paras harga $1,959 per auns, manakala niaga hadapan emas juga menurun pada $1,965 per auns (3.20 petang waktu Malaysia).
Sektor pembuatan AS mengalami pengembangan terbesar sejak November 2018 pada bulan Ogos dengan melonjak lebih tinggi daripada bacaan yang direkodkan sebelum ini dan melebihi jangkaan pasaran.
Pertumbuhan yang memberangsangkan ini secara tidak langsung menunjukkan tanda-tanda bahawa terdapat pemulihan berterusan dalam ekonomi terbesar dunia itu daripada krisis pandemik coronavirus.
Dolar greenback meningkat dari paras terendah dua tahun berbanding matawang utama dengan keniakan 0.2% dan didagangkan pada 92.53.
Bagaimanapun disebabkan jangkaan bahawa kadar faedah akan kekal rendah disebabkan pendekatan terbaru yang diambil oleh Federal Reserve AS (Fed), kenaikan yang diraih oleh USD agak terbatas.
Dalam pada itu, Gabenor Fed Lael Brainard mengeluarkan kenyataan pada Selasa bahawa bank pusat mungkin perlu melaksanakan lebih banyak langkah rangsangan untuk memenuhi sasaran untuk mencapai pertumbuhan pekerjaan yang kukuh dan inflasi yang tinggi.
Tumpuan utama pasaran kini beralih kepada penerbitan data pekerjaan ADP AS pada malam ini yang dijangka menunjukkan kenaikan lebih rendah berbanding yang dicatatkan sebelumnya, namun dijangka melebihi angka 1 juta.