Ketidakpastian dalam pemulihan permintaan global kembali menekan dagangan minyak mentah setelah satu lagi lonjakan kes baru Covid-19 direkodkan di Amerika Syarikat pada Khamis.
Bagaimanapun, komoditi hitam itu masih didagangkan stabil pada sesi Asia hari ini dengan penanda aras minyak mentah Brent susut sedikit 0.16% kepada $43.30 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula mencatatkan tidak berubah pada $40.75 setong.
Amerika Syarikat merekodkan peningkatan tertinggi harian terbaru dengan lebih 75,000 kes pada Khamis, melebihi rekod paling tinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu sebanyak 68,241 kes.
Sebanyak 41 negeri telah melaporkan peningkatan dalam kes baru, dengan 25 negeri mencatatkan pertambahan dalam angka kematian akibat Covid-19 setiap hari.
Selain itu di Australia, negeri Victoria melaporkan satu lagi lonjakan besar dengan 428 kes baru telah dicatatkan hari ini, sementara Tokyo pula menaikkan amaran Covid-19 ke tahap tertinggi setelah menyaksikan peningkatan besar dalam kes harian di bandar itu.
Susulan daripada peningkatan yang berterusan ini, pelabur bimbang terhadap pemulihan permintaan global yang boleh terjejas jika lebih banyak sekatan dikenakan untuk membendung penularan.
Malah, tindakan OPEC dan sekutunya termasuk, Rusia yang menurunkan tahap pemotongan pengeluaran minyak mentah kepada 7.7 juta tong sehari mulai Ogos turut menambah kebimbangan pelabur terhadap bekalan yang mungkin meningkat.