India telah berjanji akan meminjamkan $500 juta kepada Maldives untuk membiayai projek menghubungkan ibu kota Male dengan tiga buah pulau berdekatan, sekaligus meningkatkan usaha diplomatik New Delhi di negara itu yang juga merupakan sasaran utama China.
Dalam keputusan tersebut, Menteri Luar Negeri India Subrahmanyam Jaishankar memberitahu sebanyak $100 juta akan disumbangkan bagi menyokong projek ibu kota Male dengan tambahan kredit baru berjumlah $400 juta.
Projek jambatan yang menghubungkan Male dengan tiga pulau zon industri iaitu Villingili, Gulhifahu dan Thilafushi memiliki kepanjangan 6.7km, dilihat akan menghidupkan semula dan mengubah ekonomi Maldives.
Jaishankar menerusi ciapan akaun Twitternya turut meraikan hubungan ekonomi antara India dan Maldives yang kembali pulih dengan pembukaan semula perkhidmatan feri kargo dan kapal terbang antara dua negara itu.
Maldives juga turut menjadi perhatian China berikutan daripada usaha China’s Belt dan Road Initiative yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pengangkutan.
Sebelum ini Maldives telah berhutang dengan Beijing dan mengikat kontrak dengan firma China bagi projek infrastruktur di bawah pentadbiran pemerintah terdahulu, Abdulla Yameen.
Tindakan tersebut akhirnya mendorong India dan Barat menuduh China telah menyekat negara-negara seperti Maldives dengan lambakan hutang yang mustahil dilunaskan serta mengetatkan cengkamannya di rantau tersebut.
Sejak pemerintahan Presiden Ibrahim Solih, New Delhi berusaha untuk meluaskan pengaruh mereka di Maldives selepas menumpaskan orang kuat Yameen pro-China dalam pilihan raya dua tahun lalu.
Yameen telah disabitkan dengan kesalahan penyelewengan wang dan dihukum penjara selama lima tahun bermula pada Februari 2020. Bekas pemerintah itu didapati bersalah, memberi kontrak pembinaan kepada firma China dengan harga yang tinggi.