Indonesia memasang keinginan untuk menyediakan tapak pelancaran roket bagi pengembaraan ke angkasa, SpaceX oleh syarikat Tesla milik Elon Musk.
Lapor Reuters, negara berkenaan ketika ini sedang mengadakan rundingan dengan Tesla mengenai kerjasama terbabit.
Menurut Kementerian Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan, Presiden Joko Widodo atau Jokowi sudah berunding dengan Musk.
Institut Aeronautik dan Angkasa Nasional (LAPAN) telah merancang untuk membina pangkalan angkasanya yang pertama di Biak, kepulauan Papua.
Pembangunan aeroangkasa berskala besar itu memerlukan pelabur antarabangsa dan SpaceX adalah salah satu rakan kongsi yang berpotensi buat Indonesia.
Tambah kementerian tersebut, Musk akan menghantar pasukannya pada bulan hadapan untuk meneliti mengenai potensi pelaburan itu.
Salah satu perkara yang akan turut dibincangkan kelak ialah membina kilang di Jawa Tengah kerana Indonesia kaya dengan tembaga, nikel dan bijih timah selain berhasrat untuk menjadi pengeluar bateri kenderaan elektrik terbesar di dunia.
“Nikel merupakan cabaran terbesar bagi bateri yang berkapasiti tinggi dan berjarak jauh! Australia dan Kanada melakukannya dengan sangat baik. Pengeluaran nikel di AS secara objektifnya sangat teruk. Indonesia sangat hebat!” kata Musk menerusi Twitter pada awal tahun ini.