Sejak termeterainya perjanjian perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia pada Januari lalu, China dilaporkan hanya membeli 5% daripada produk tenaga bernilai $25.3 bilion yang disasarkan oleh Amerika Syarikat.
Pembelian yang dibuat pada separuh pertama tahun 2020 ini, adalah tersasar jauh daripada komitmen yang terkandung dalam perjanjian dagangnya dengan Amerika.
Berdasarkan anggaran daripada data kastam China, jumlah keseluruhan import minyak mentah, gas asli cecair (LNG), arang batu dan produk tenaga lain adalah kira-kira $1.29 bilion pada suku pertama sehingga Jun tahun ini.
Menurut anggaran, minyak mentah AS pada mulanya dijangka akan meraih keuntungan besar hasil pembelian oleh China. Namun, disebabkan peningkatan tarif import dan kejatuhan permintaan bahan bakar ekoran Covid-19, ia membuatkan import AS lebih mahal untuk kilang minyak di China.
Beijing dilaporkan hanya mengimport 45, 603 tong sehari minyak mentah dari Amerika pada separuh pertama tahun 2020 berbanding 85, 453 tong sehari dalam tempoh yang sama pada tahun 2019.
Walaupun pembelian produk AS dari China dipertingkatkan baru-baru ini, namun disebabkan kelemahan harga tenaga dan hubungan yang semakin merosot antara dua negara itu, Beijing mungkin gagal memenuhi komitmen yang dimeterai dalam perjanjian dagang fasa 1.
Kegagalan untuk mencapai sasaran ini boleh memburukkan lagi hubungan AS dan China yang semakin meruncing sejak meletusnya krisis pandemik coronavirus.