Dalam sebuah pertemuan bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo semalam, Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga mengumumkan pihaknya memperuntukkan pinjaman berkadar rendah sebanyak 50 bilion yen ($473 juta) kepada negara itu sebagai langkah menangani wabak COVID-19.
Tawaran tersebut merupakan penambahan kepada pinjaman Jepun pada Februari lepas, berjumlah 32 bilion yen dengan tujuan yang sama.
Untuk pengetahuan, Indonesia mencatatkan lebih 360,000 kes jangkitan dan 12,000 kematian kerana koronavirus.
Pertemuan itu membincangkan penyambungan semula perniagaan dua hala antara Jepun dan Indonesia, serta mengadakan pertemuan antara menteri pertahanan dan luar negeri masing-masing dalam masa terdekat.
Suga juga meluahkan harapannya situasi di Laut China Selatan akan kembali aman dan stabil.
Beliau menyokong usaha Asia Tenggara dalam mencapai kedamaian di Laut China Selatan dengan mengetengahkan konsep kerjasama serantau Jepun dalam menentang China, “Indo-Pasifik bebas dan terbuka”.
Lawatan Suga ke Asia Tenggara membuktikan kepentingan wilayah itu kepada Jepun. Ia juga merupakan lawatannya yang pertama sejak menggantikan Shinzo Abe pada September.
Sebelum tiba di Indonesia, Suga membuat lawatan di Hanoi, Vietnam dan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.