Ketika pasaran minyak mentah terus ditekan oleh kekhuatiran terhadap permintaan global yang lemah, laporan mengenai bekalan minyak mentah AS yang meningkat telah menambahkan lagi tekanan buat dagangan komoditi hitam.
Terbaru, Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan terdapat peningkatan sebanyak 691,000 tong dalam inventori minyak mentah AS pada minggu lepas setelah menyaksikan penurunan 9.5 juta tong pada minggu sebelumnya.
Harga minyak terus menerima tekanan berikutan peningkatan kes coronavirus di Eropah yang membawa kemungkinan lebih banyak sekatan dikenakan dan menjejaskan aktiviti ekonomi dunia.
Perdana Menteri UK, Boris Johnson mengumumkan langkah sekatan baru yang mungkin dikuatkuasakan sehingga 6 bulan, di mana rakyat digalakkan untuk bekerja di rumah, mengenakan hukuman jika tidak memakai topeng atau berkumpul dalam kumpulan lebih daripada 6 orang.
Kekhuatiran terhadap permintaan minyak dunia terus meningkat berikutan kembalinya pengeluaran minyak Libya ke dalam pasaran. National Oil Company menjangkakan pengeluaran minyak mentah Libya akan meningkat lebih 1/4 juta tong sehari pada minggu depan.
Niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat diniagakan susut 35 sen kepada $39.45 setong, manakala minyak mentah Brent merosot pada $41.41 setong.
Sekiranya data oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) malam ni juga lemah, kedua-dua penanda aras minyak tersebut mungkin akan susut lebih rendah.