Dagangan pound sterling dilihat kurang terkesan walaupun dengan kejatuhan dalam jualan runcit UK yang dipamerkan dalam data terbaru yang diterbitkan pada permulaan sesi Eropah hari ini.
Menurut data yang dikeluarkan Pejabat Statistik Negara (ONS), jualan runcit UK jatuh 3.8% pada bulan November iaitu ketika negara itu memasuki fasa ‘lockdown’ kedua sehingga memaksa kedai yang menjual barang-barang tidak penting ditutup. Ini adalah penurunan pertama yang dicatatkan sejak bulan April.
Menjelang dagangan penghujung minggu, matawang itu turun sedikit berikutan para pelabur yang mahu mengambil keuntungan dan kembali mendorong sedikit lonjakan buat US dolar.
Bagaimanapun, pound sterling kekal didagangkan mengukuh di sekitar paras harga 1.354000 berbanding USD setelah melonjak ke tahap terkuat sejak Mei 2018 pada sesi dagangan hari Khamis.
Khabar kurang menyenangkan mengenai rundingan perdagangan Brexit kembali bergema selepas Perdana Menteri UK Boris Johnson mengatakan mengenai kemungkinan perjanjian tidak akan dicapai kecuali Kesatuan Eropah (EU) merendahkan pendiriannya terhadap isu-isu penting termasuk kuota penangkapan ikan.
Namun begitu, keyakinan pasaran bahawa kedua-dua pihak dapat mencapai perjanjian sebelum berakhirnya tempoh peralihan Brexit masih menyokong dagangan matawang pound hari ini.