Data jualan runcit UK bagi bulan Disember sekali lagi mengecewakan pasaran dengan menunjukkan penguncupan sebanyak 0.6% gagal memenuhi jangkaan pasaran untuk meningkat 0.5%, selepas catat penurunan 0.8% pada November.
Dagangan pound terus menjunam berbanding US dolar ekoran bacaan jualan runcit UK juga menunjukkan tiada pertumbuhan dalam jualan runcit UK direkodkan untuk bulan kelima berturut-turut.
Kelemahan bacaan ini terus menguatkan jangkaan pasaran untuk Bank Pusat England (BoE) menurunkan kadar faedahnya pada akhir bulan ini.
US dolar terus mengukuh meskipun sedikit susut dari paras ketinggian 8 bulan berbanding safe-haven yen, masih disokong oleh data jualan runcit A.S yang mencatat pertumbuhan memberangsangkan.
Amerika Syarikat hari ini mengesahkan bahawa serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran ke pangkalan yang terletak di Iraq pada minggu lalu, telah mencederakan beberapa orang tentera A.S.
Ini menyebabkan pasaran ternanti-nanti reaksi atau kenyataan selanjutnya daripada Presiden A.S Donald Trump kerana sebelum ini beliau menyatakan tidak ada kematian atau kecederaan dilapor melibatkan warga Amerika disebabkan serangan itu.
Setakat ini, tiada pergerakan ketara dalam pasaran yang berlaku susulan laporan tersebut.
Antara data ekonomi yang menjadi tumpuan pada malam ini adalah bacaan indeks keyakinan pengguna A.S dengan jangkaan bahawa sentimen pengguna akan meningkat.
Di sisi lain, data pertumbuhan ekonomi GDP China kembali memacu dagangan dolar Aussie untuk diniagakan meningkat berbanding USD, yang pada awalnya gagal merangsang pergerakan matawang itu.
Beijing dijangka memperkenalkan langkah rangsangan baru pada tahun ini selepas ekonomi China pada 2019 mencatat pertumbuhan paling lemah dalam tempoh 29 tahun terkesan oleh perang dagangnya dengan A.S.
Dolar Aussie dan kiwi mencatat peningkatan sebanyak 0.2% berbanding USD, sementara matawang yuan China turut meningkat 0.2% ke paras yang lebih kukuh sejak Julai 2019 berbanding USD.