Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga dan keempat tahun ini akan menguncup masing-masing kepada -3.5 peratus dan -1.9 peratus tahun ke tahun berikutan penyusutan ekonomi pada suku kedua.
Menurut nota penyelidikannya, ini akan menjadikan kemelesetan tahun penuh pada -5.4 peratus.
Bernama melaporkan, indikator perbelanjaan pengguna bagi suku ketiga 2030 (3Q20) juga telah meningkat dan menggambarkan penggunaan swasta lebih baik dalam suku tersebut.
Maybank IB berkata permohonan dan kelulusan pinjaman isi rumah serta transaksi kad kredit telah meningkat semula pada 3Q20.
“Peningkatan pertumbuhan pinjaman isi rumah dalam tempoh tiga bulan sehingga September lepas turut menggambarkan impak duti setem, Cukai Keuntungan Hartanah dan pengecualian cukai jualan di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi merangsang jualan kediaman dan automotif bagi tempoh 6-18 bulan akan datang.
“Ini telah menyebabkan peningkatan pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan kenderaan penumpang,” katanya.
Menurut Maybank IB, risiko terhadap unjuran itu terutamanya suku keempat 2020 adalah kemunculan gelombang baharu kes jangkitan COVID-19 sejak akhir September lepas yang disusuli dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan secara bersasar.
“Ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang mewakili sehingga 47 peratus daripada KDNK,” kata firma berkenaan.