Reserve Bank of Australia (RBA) menetapkan kadar faedah tidak berubah pada 0.75% di mesyuarat dasar bank pusat pertama bagi tahun 2020. Berikutan itu, dolar Aussie kembali melonjak dari paras terendah untuk diniagakan di atas paras 0.67100 berbanding USD.
Melalui kenyataan susulan RBA selepas keputusan dikeluarkan, Gabenor Philip Lowe dan ahli RBA lain kelihatan berpuas hati setakat ini terhadap kadar faedah semasa adalah mencukupi bagi merangsang ekonomi Australia.
Menurut Lowe, pelonggaran dasar monetari tahun lepas telah menyokong pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan di Australia serta pemulihan inflasi kepada sasaran jangka masa sederhana.
Kadar faedah yang rendah telah memberi tekanan ke atas kadar pertukaran, di mana ia menyokong aktiviti antara pelbagai industri di negara itu.
Selain itu, kadar faedah yang lebih rendah telah membantu proses penyesuaian imbangan perumahan dan menaikkan harga aset yang mendorong kepada peningkatan perbelanjaan, seterusnya mendorong ke arah pencapaian sasaran inflasi dan pekerjaan penuh secara beransur-ansur.
Secara keseluruhannya, Gabenor Lowe melihat prospek ekonomi global kekal rasional dengan jangkaan pertumbuhan untuk lebih kuat pada tahun ini. Bagaimanapun, pertikaian teknologi antara Amerika Syarikat dan China serta impak coronavirus terhadap ekonomi Beijing pula menjadi faktor kepada ketidakpastian global.
Menurut Lowe, adalah terlalu awal untuk menentukan impak jangka panjang daripada virus itu. Namun, beliau memberitahu coronavirus dan kebakaran hutan di Australia akan menjejaskan pertumbuhan domestik dalam jangka masa pendek.
Sementara itu, penurunan dalam kadar pengangguran pada Disember telah membantu mengurangkan tekanan untuk pengurangan kadar sekali lagi. Berdasarkan hasil data ekonomi semasa, ekonomi Australia dapat mengekalkan kadar pengangguran yang lebih rendah.
RBA akan menerbitkan unjuran pertumbuhan baru menjelang akhir minggu ini menyusuli penerbitan data jualan runcit sementara ucapan Gabenor Philip Lowe pada pagi esok pula akan menjadi tumpuan pelabur untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang pandangan beliau terhadap ekonomi.