Harga minyak meningkat pada hari Selasa, memperpanjangkan kenaikan pada sesi sebelumnya yang didorong oleh lebih banyak kemajuan dalam usaha mengembangkan vaksin Covid-19 dilaporkan.
Terbaru, Moderna Inc mengatakan data percubaan fasa ketiga pada peringkat awal terhadap vaksin yang diusahakan telah menunjukkan kebersanan lebih daripada 94% untuk mencegah wabak Covid-19.
Hal ini telah mengangkat lagi harapan pasaran terhadap penghasilan vaksin yang berpotensi dan membantu mengimbangi kebimbangan terhadap permintaan global yang lemah disebabkan peningkatan berterusan kes coronavirus di seluruh dunia.
Selain itu, sentimen positif pasaran turut disokong oleh jangkaan bahawa OPEC+ akan melanjutkan komitmen pemotongan pengeluaran minyak mentah semasa sekurang-kurangnya untuk 3 bulan.
Kumpulan itu akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menteri (JMMC) pada hari ini yang mungkin memberi petunjuk mengenai keputusan OPEC+ pada pertemuan 30 November nanti.
Memetik kepada sumber yang dipercayai, Reuters melaporkan bahawa kebanyakan anggota kumpulan itu menyatakan sokongan untuk melanjutkan sekurang-kurangnya 3 bulan dalam komitmen pengurangan pengeluaran semasa, iaitu sebanyak 7.7 juta tong sehari.
Pada awal sesi Eropah, niaga hadapan minyak Brent didagangkan meningkat pada $44.05 setong, sementara WTI Amerika Syarikat menokok kepada $41.47 setong.