Korea Utara memutuskan semua hubungan komunikasi rasminya dengan Korea Selatan bermula hari ini, termasuk talian hotline yang menghubungkan antara pemimpin kedua-dua negara tersebut.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA)melaporkan, Korea Utara akan memutuskan dan menutup talian komunikasi di pejabat perhubungan, yang menghubungkan talian perhubungan antara pihak berkuasa kedua-dua negara bermula 12 tengah hari pada 9 Jun.
Menurut Korea Utara, ini merupakan langkah pertama susulan ancamannya sebelum ini, yang menggambarkan Korea Selatan sebagai ‘musuh’.
Minggu lalu, Pyongyang telah memberi amaran untuk memutuskan talian perhubungan antara kedua-dua negara, jika Korea Selatan gagal menghentikan penyebaran risalah anti-Pyongyang menerusi sempadan negara itu.
Dalam pada itu, adik kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, iaitu Kim Yo Jong turut mengancam untuk membatalkan persetujuan ketenteraan antara dua negara itu, disebabkan isu penyebaran risalah tersebut.
Beliau turut mengatakan bahawa kempen risalah tersebut adalah tindakan permusuhan yang melanggar perjanjian damai yang dibuat semasa sidang kemuncak Panmunjom 2018 antara pemimpin Korea Selatan Moon Jae In dan Kim Jong Un.
Risalah yang diterbangkan merentasi sempadan dengan menggunakan belon itu, mengkritik Kim Jong Un berhubung isu pencabulan hak asasi manusia dan cita-cita nuklear pemimpin tersebut.
Ketegangan yang semakin meningkat ini dilihat menjadi salah satu faktor yang mendorong kepada safe-haven yen untuk didagangkan mengukuh berbanding matawang utama lain sejak awal sesi dagangan sesi Asia hari ini.