Amerika Syarikat (AS) dijangka menerima vaksin pertama Covid-19 berkemungkinan seawal 11 Disember ini.
Berita itu didedahkan oleh ketua program vaksin coronavirus AS, Dr. Moncef Slaoui kepada CNN.
Ujar Slaoui, pihaknya merancang untuk menghantar vaksin ke pusat kuarantin dalam tempoh 24 jam selepas vaksin itu diluluskan.
Menurut data yang dikumpul oleh Universiti Johns Hopkins, AS mencatat lebih 12 juta kes jangkitan dan 255,000 kematian.
Jumaat lalu, syarikat farmaseutikal, Pfizer dan BioNTech menghantar permohonan kelulusan penggunaan kecemasan di AS untuk vaksin yang dihasilkan oleh mereka.
Jawatankuasa penasihat vaksin Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) dijadualkan bertemu pada 10 Disember ini bagi membincangkan sama ada vaksin itu akan diluluskan atau tidak.
Tambah Slaoui, vaksin itu akan diedarkan berdasarkan populasi setiap negeri di AS dan setiap pentadbiran negeri akan memutuskan siapa yang bakal mendapat vaksin itu terlebih dahulu, terutamanya mereka yang paling berisiko seperti pekerja kesihatan dan warga tua.
Vaksin yang dihasilkan oleh Pfizer menunjukkan keberkesanan sebanyak 95%. Pfizer juga berharap untuk menghasilkan kira-kira 50 juta dos vaksin menjelang akhir tahun ini.
Selain itu, vaksin yang dibangunkan oleh Moderna juga dilaporkan menunjukkan keberkesanan hampir 95%, menurut data ujian. Syarikat itu juga dijangka memohon kelulusan untuk vaksinnya dalam tempoh beberapa minggu lagi.