Pengukuhan matawang US dolar susulan mesyuarat polisi FOMC terus mendorong dagangan komoditi emas untuk menjunam dari paras ketinggian 2 mingu yang dicapainya ketika sesi pasaran Rabu.
Spot emas diniagakan menjunam lebih 1% ke sekitar harga $1,939 per auns, sementara niaga hadapan emas diniagakan susut pada $1,946 per auns (11.45 pagi waktu Malaysia).
Terdahulu, logam berharga itu didagangkan menguat sehingga mencecah paras harga $1,973 per auns pada sesi New York sebelum jatuh lebih rendah susulan mesyuarat FOMC.
Dolar greenback menguat 0.4% berbanding sekumpulan matawang utama, mendorong indeks dolar untuk meningkat pada 93.50 di sesi Asia.
Federal Reserve (Fed) mengatakan kemerosotan yang dialami ekonomi Amerika Syarikat adalah tidak seteruk seperti yang disangkakan sebelum ini. Bank pusat juga melihat ekonomi juga sedang menuju ke arah pemulihan dengan kadar pengangguran diramalkan menurun lebih cepat daripada jangkaan.
Oleh kerana Fed menjangkakan peningkatan inflasi untuk mencapai sasaran akan mengambil masa bertahun-tahun, ia bersedia untuk membiarkan dasar monetari tidak berubah dan berjanji mengekalkan kadar faedah sehingga mencapai sasaran pekerjaan penuh.