Ini Sebab USD Kukuh Selepas Mesyuarat FOMC!

797

Dagangan sesi Asia memperlihatkan US dolar diniagakan lebih tinggi susulan pengumuman mesyuarat polisi FOMC Federal Reserve AS (Fed) awal pagi tadi.

Walaupun dengan keputusan bahawa Fed tidak akan meningkatkan kadar faedah untuk 3 tahun akan datang, US dolar tetap meraih pengukuhan seperti mana yang dipamerkan selepas ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell di Jackson Hole baru-baru ini.

Bank pusat menjangkakan peningkatan inflasi akan mengambil masa bertahun-tahun. Oleh itu, ia bersedia untuk membiarkan dasar monetari tidak berubah dan berjanji mengekalkan kadar faedah sehingga mencapai sasaran pekerjaan penuh.

Inflasi teras dijangka tetap rendah dan tidak mencapai sasaran 2% bank pusat sehingga tahun 2023. Pada masa yang sama, pasaran pekerjaan diunjurkan meningkat ke tahap di mana pengangguran berada pada 4% pada tahun 2023, di bawah kadar jangka panjang 4.1%.

Bagaimanapun, keputusan yang dicapai bukanlah melalui undian sebulat suara, di mana 2 daripada 9 penggubal dasar tidak bersetuju.

Federal Reserve, Robert Kaplan mahu mengekalkan ‘fleksibiliti dasar yang lebih besar’ setelah sasaran pekerjaan dan inflasi tercapai, sementara Neel Kashkari pula memilih agar jawatankuasa Fed untuk menunjukkan bahawa mereka mengharapkan untuk mengekalkan sasaran semasa sehingga inflasi mencapai sasaran 2% secara berterusan.

Sementara itu, Federal Reserve juga mengeluarkan unjuran ekonomi terbaru mereka, di mana bank pusat melihat ekonomi menyusut 3.7% pada tahun ini, jauh lebih rendah penguncupan 6.5% yang diramalkan pada Jun.

Bagi pengangguran pula, yang direkodkan tinggi 8.4% pada bulan Ogos, dijangkakan akan menurun kepada 7.6% pada akhir tahun ini.

Secara keseluruhannya, bank pusat masih melihat ekonomi sedang menuju ke arah pemulihan, namun dengan kadar pertumbuhan yang agak perlahan. Jerome Powell menekankan bahawa perlunya sokongan fiskal dan monetari kerana tanpanya, ekonomi akan menghadapi risiko penurunan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat