Harga minyak mentah global menyusut kira-kira 3% pada hari Khamis berikutan laporan bahawa Presiden AS Donald Trump enggan melancarkan semula perang berskala penuh menentang Iran. Susulan itu, pasaran niaga hadapan WTI merosot kepada $92.64 setong manakala Brent turun ke paras $94.78 setong.
Laporan daripada The Wall Street Journal mendedahkan Trump memaklumkan kepada para pembantunya bahawa rancangan gencatan senjata dengan Iran yang telah berlangsung beberapa minggu masih lagi bertahan. Walau bagaimanapun, beliau sedia menamatkan perjanjian itu sekiranya terdapat tentera Amerika Syarikat yang terbunuh.
Sebelum ini, pasaran bimbang gencatan senjata berkenaan akan runtuh selepas Tehran dilaporkan memutuskan rundingan dengan AS sebagai protes terhadap serangan ketenteraan Israel ke atas kumpulan Hezbollah di Lubnan.
Walau bagaimanapun Israel dan Lubnan telah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata pada hari Rabu dimana langkah ini dilihat mampu memulihkan rundingan AS-Iran di tengah situasi geopolitik yang kekal rapuh.
Sementara itu di Washington, Trump berdepan tentangan politik domestik apabila Dewan Perwakilan meluluskan resolusi yang mendesak pengunduran tentera AS atau Trump perlu mendapatkan kelulusan rasmi Kongres. Namun begitu, resolusi ini dijangka sukar melepasi peringkat Senat dan bakal berdepan kuasa veto daripada Presiden.

























































