Jerebu rentas sempadan yang berpanjangan di Malaysia dianggarkan menyebabkan kerugian ekonomi antara RM20 juta hingga RM50 juta sehari, susulan gangguan perniagaan, peningkatan kos rawatan dan penurunan produktiviti pekerja.
Kerugian Ekonomi Terus Meningkat
Profesor ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng berkata, jumlah kerugian sebenar berpotensi mencecah RM600 juta hingga RM1.5 bilion sebulan, menurut laporan The Star.
Sektor pelancongan dan penerbangan antara yang paling terjejas apabila pencemaran udara boleh mengurangkan ketibaan pelancong sehingga 8%.
Sektor pertanian turut berdepan penurunan hasil tanaman, manakala aktiviti penghantaran barangan, pembinaan dan peruncitan mengalami gangguan.
Kos Kesihatan Cecah Ratusan Juta Ringgit
Pakar perubatan kesihatan awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Hafiz Jaafar berkata, kos rawatan penyakit berkaitan jerebu meningkat daripada kira-kira RM21 juta pada 1997 kepada RM410 juta pada 2013.
Beliau menjelaskan bahawa angka itu hanya melibatkan kos rawatan penyakit pernafasan dan belum mengambil kira kesan terhadap jantung serta saluran darah.
Produktiviti Pekerja Turut Terjejas
Selain kos hospital, jerebu turut menyebabkan pekerja mengambil cuti sakit, sukar memberikan tumpuan dan mengalami penurunan produktiviti. Keadaan ini menambah beban kewangan kepada majikan dan perniagaan.
Dr Mohd Hafiz menegaskan bahawa kerjasama rentas sempadan dengan Indonesia penting untuk menangani kebakaran hutan dari puncanya.
Langkah pencegahan disifatkan lebih menjimatkan berbanding menanggung kerugian ekonomi dan kesihatan setiap kali krisis jerebu berulang.




















































